Pembelaan Golongan Murtad

Adakah kamu pula hendak meminta dari Rasul kamu sebagaimana diminta dari Nabi Musa (oleh kaumnya) dahulu? Dan sesiapa yang menukar iman dengan mengambil kekufuran, maka sesungguhnya ia telah sesat dari jalan yang lurus.

[Al-Baqarah 2:108]

 

Kita seringkali dikejutkan dengan kes-kes murtad di kalangan masyarakat kita yang kononnya semakin berleluasa dan membimbangkan. Selalunya disertakan sekali dengan statistik-statistik yang menggambarkan bahawa gejala ini benar-benar berada pada tahap kritikal dan keagungan Islam kian dicabar.

Disertakan juga gambaran bahawa golongan Murtaddin ini berpotensi menjatuhkan Islam seandainya mereka tidak dibendung. Diperlukan pula kita bangkit menentang musuh-musuh Islam ini sekeras-kerasnya. Tanpa kompromi, sekeras-kerasnya. Benarkah?

Astaghfirullah. Bawak mengucap dulu.

Sememangnya, berita-berita begini disensasikan untuk tujuan-tujuan tertentu. Inilah yang dinamakan propaganda – dan kitalah mangsanya.

Antara perkara yang perlu kita teliti terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan adalah berkenaan dengan statistik yang diperoleh. Bukannya tak percaya tapi teringin juga nak tahu kaedah perangkaannya. Betulkah angka yang disebutkan dalam sesuratkhabar tabloid yang kita selalu dok baca tu?

Harap pihak berwajib dapat menjawab persoalan ini samada ianya benar atau exaggerated. Penelitian juga harus dibuat ke atas setiap kes untuk mengetahui dengan lebih jelas punca permasalahannya.

Sebagaimana kita berasa terpanggil untuk menjaga hati, perasaan dan kebajikan kaum Mualaf, begitu juga harus kita lakukan terhadap kaum Murtaddin ini.

Mereka juga rasa tersisih, dibelenggu dan keselamatan diri mereka diancam. Bahkan, kedua-dua golongan ini (Mualaf dan Murtaddin) telah membuat penilaian dan keputusan untuk berhijrah daripada kepercayaan asal mereka atas kapasiti mereka sendiri. Kedua-duanya berada pada penghujung berbeza pada skala yang sama.

Kebarangkalian besar, ramai kaum Muslimin tidak bersetuju dengan pelaku-pelaku Murtad ini. Tapi, apa yang boleh dilakukan? Paksa mereka kembali menerima Islam? Penjarakan mereka? Hukum bunuh? Penyeksaan?

Pastinya hukuman-hukuman sebegini agak ekstrim.

 

 “Barangsiapa yang menukar agamanya, bunuhlah dia”

[Riwayat Bukhari]

Sebahagian besar Ulama’ bersetuju bahawa hukuman ke atas seseorang murtad adalah bunuh. Ini berdasarkan dalil yang tersebut di atas. Walaubagaimanapun, perihal hukuman ini tiada disebut dalam Al-Quran.

Sebahagian Ulama’ pula berpendapat bahawa andainya seseorang Murtad itu tidak melakukan perkara yang boleh dianggap sebagai memusuhi Islam maka dia tidak perlu dibunuh.

Golongan Quraniyyun (anti-hadis) dan beberapa golongan Islamic Liberals juga tidak menggunapakai hadis ini sebagai dalil.

Andai kita merujuk kepada laman web JAKIM juga hukuman yang disyorkan adalah bunuh. (Link: di sini).

Sungguhpun begitu,di Malaysia, hukuman bunuh tidak pernah dilaksanakan ke atas pesalah Murtad.

Daripada pengalaman saya berbicara dengan beberapa orang Murtad tidak lama dulu, saya dapati bahawa golongan ini bukanlah ancaman kepada Umat Islam. Mereka tidak menanamkan sifat benci atau enmity terhadap Orang Islam dan aspirasi mereka juga sama seperti kita. Mereka juga inginkan keamanan, kebebasan, keselamatan dan peluang untuk menjalani kehidupan sebagai manusia yang berguna.

Tidak seperti yang diwar-warkan, mereka tidak mempunyai motif untuk menjatuhkan umat Islam. Jadi, kenapa kita perlu bimbang? Adakah kita begitu insecure sehinggakan kita lebih gemar menghukum daripada mencari titik penyelesaian? Adakah method utama kita di dalam menangani sesuatu isu akan sentiasa  bergantung kepada kekerasan dan paksaan?

Kita seringkali bingkas bangun dan mempertahankan hak-hak Umat Islam apabila ianya dizalimi dan dianiaya. Tetapi, kenapa kita tidak bingkas bangun apabila Orang Islam pula yang menganiaya dan menzalimi kaum lain? Bahkan pula, kita menjustifikasi kezaliman kita di sebalik nama agama.

Bukankah diskusi dan dakwah itu lebih penting?

Wallahua’lam.

Share this on : Share on FacebookShare on TwitterShare on GooglePlusShare on PinterestShare on Linkedin

2 thoughts on “Pembelaan Golongan Murtad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *